Saturday, May 22, 2010

Muqaddimah

الســــلا م عليــــكــم ورحمة الله وبركاته
Dengan Nama ALlah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang.
Dalam terlupa melakukan tugas-tugas seharian, kadangkala kita untuk tidak lagi menjadikan ALlah sebagai tempat untuk kita mengadu, memohon dan meminta dalam apa-apa masalah yang berkaitan dengan diri, tugas dan masyarakat.

ALlah s.w.t berfirmam yang bermaksud: “ [Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka]: “Maka segeralah kamu kembali mengadu kepada ALlah [dengan bertaubat dan ta’at], sesungguhnya aku diutuskan ALlah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata”.
[Surah az-Zariyat:50]

Kembali mengadu,meminta dan memohon kepada Allah membawa maksud melaksanakan segala tuntutan dan perintah ALlah serta menjauhi apa yang dilarang dan ditegah oleh Nya. Memelihara hukum hakam Nya dalam perkara halal dan haram, mengikut segala ajaran Nabi s.a.w sebagaimana firman ALlah yang bermaksud: “ Apa-apa yang dibawa oleh Rasul kepada kamu ambilnya dan apa-apa yang ditegahnya, maka hendaklah kamu tinggalkan”.
[Surah al-Hasyr:7]

Inilah sahaja jalan yang terbaik sebagai seorang Muslim untuk menyelesaikan masalah dunia dalam urusan kehidupan kita sehari-hari. Mengemukan aduan kepada ALlah adalah jalan yang terbaik daripada mengemukakan aduan kepada sesama manusia.
amirbenhussin@gmail.com

Tokoh.
amirussin@yahoo.com

Mengenang pemergian Aminah Assilmi.

Aminah Assilmi merupakan seorang tokoh agama Islam yang dikagumi di Amerika, beliau merupakan seorang muslimah yang gigih menyampaikan risalah Islam juga seorang pengarah Kesatuan Wanita Islam Antarabangsa.

Aminah memeluk agama Islam selama 33 tahun setelah beliau meninggal dunia 5 Mac lalu setelah mengalami satu kemalangan jalan raya di Newport TN pada waktu subuh setelah memberikan ceramah di New York.

Merupakan seorang yang dihormati sebagai pendakwah, pengarang dan pejuang Islam dan hak asasi wanita dan terpilih sebagai salah seorang dari 500 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia.

Dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga Kristian yang taat. Sebagai seorang gadis Southern Baptish, beliau tidak pernah terfikir untuk mendekati Islam, apatah lagi untuk menganut agama Islam.

Perubahan berlaku apabila beliau mendaftar masuk kelas teater di sebuah kolej pada tahun 1975, yang mana di dalam kelas tersebut ramai disertai pelajar-pelajar Arab, dan beliau berasa amat benci pada mereka sehingga hampir mengambil keputusan untuk berhenti dari menghadiri kelas tersebut.
Atas nasihat suaminya, beliau cuba membiasakan diri dengan mereka dan bertekad untuk berdakyah untuk menarik mereka ke agama Kristian. Malangnya setelah lama berusaha, dia gagal menarik mereka untuk masuk ke dalam agama Kristian.

Aminah tidak berputus asa, beliau cuba menyelami kefahaman pelajar-pelajar tersebut mengenai Islam dan apakah bacaan-bacaan mereka. Pelajar-pelajar tersebut lantas memberikan bacaan-bacaan mereka termasuk al-Qur’an.

Setelah membaca dan mengkaji bahan-bahan bacaan serta al-Qur’an tersebut beliau merasakan satu perubahan dalam dirinya. Dengan sendirinya beliau tidak lagi mahu meminum arak dan memakan babi.

Suaminya merasa curiga dengan perubahan dirinya dan mensyaki dia mempunyai lelaki lain. Ekoran perselisihan tersebut, mereka mengambil keputusan untuk tidak lagi tinggal sebumbung. Beliau meneruskan kajiannya terhadap Islam sehingga pada suatu hari beliau didatangi oleh tiga orang lelaki Islam ke rumahnya dan menawarkan untuk berbincang mengenai Islam.

Hasil perbincangan tersebut Aminah diberikan hidayah oleh ALlah untuk memeluk agama Islam dan pada 21 Mei 1977, dengan rasminya beliau menjadi seorang wanita Muslim.

Menjadi wanita Muslim tidaklah semudah yang disangkanya, ujian demi ujian mula dihadapinya, bapanya mengugut untuk membunuhnya, sementara ibu dan adiknya mula menyisihkannya. Suaminya mengambil tindakkan menceraikannya dan hak penjagaan dua orang anaknya diserahkan kepada suaminya oleh mahkamah yang berat sebelah.

Aminah hilang segalanya termasuk pekerjaannya, namun dihadapinya dengan tabah dan dia mula memakai hijab. Walaupun disisih oleh keluarganya, beliau tetap menunjuk akhlaq yang baik dan akhirnya beliau mendapat rakan-rakan baru dan semakin terkenal disisi masyarakat dengan menjadi tempat rujukan, nasihat dan kaunseling oleh rakan-rakan yang beragama Islam dan yang tidak beragama Islam.

Beberapa tahun selepas itu dengan hidayah oleh ALlah, keluarganya menunjukkan sikap yang positif terhadap dirinya dengan neneknya yang berusia 100 tahun memeluk agama Islam, diikuti dengan ibu, bapa, adiknya dan akhirnya suaminya beserta dengan anak-anaknya.

Sepanjang hayatnya Aminah tidak pernah berhenti daripada memperjuangkan Islam dan hak asasi wanita sehinggalah kepada saat-saat terakhir hidupnya.


Dars Bukhari
www.tamarmerbok.blogspot.com

عن أنس رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قا ل:لايؤمن أحد كم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه. متفق عليه.
Dari Anas r.a katanya: Rasulullah S.A.W bersabda “ Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia berkasih sayang sesama Muslim , sebagaimana ia kasih pada dirinya sendiri ”.
[Hadis riwayat Bukhari dan Muslimi]

Hadis ini merangkumi segala maksud dan tujuan yang baik bagi menghindari segala kejahatan diri seseorang Muslim. Segala perbuatan yang baik datangnya dari jiwa dan nurani yang ikhlas dan dari petunjuk dari Allah.

Segala ‘amal perbuatan yang tidak terdorong oleh kebaikan dari dalam jiwa, pasti akan sia-sia dan gagal untuk kita laksanakan. Sebaliknya segala ‘amal perbuatan yang baik sekiranya datang dari dalam jiwa yang ikhlas kerana Allah pasti ia akan mendapat natijah yang baik.

Keimanan seseorang Muslim terletak pada kesedaran tentang kejadian diri dan asal usul seseorang yang perlu kepada kepatuhan melakukan perkara-perkara yang diredhai oleh ALlah dan RasulNya. Sehubungan dengan itu sebaai seorang Muslim hendaklah ada pada dirinya rasa rendah diri dan membuang sama sekali sifat angkuh dan ego serta sombong diri apabila berhadapan dengan seseorang Muslim yang lain, walau bagaimanapun keadaan sekalipun.

Islam meletakkan seseorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah sama saja, cuma yang membezakannya adalah Iman. Dengan adanya Iman yang sempurna maka, kita akan merasakan tiada perbezaan antara yang kaya dan yang miskin. Dalam hal ini Nabi S.A.W telah menggariskan bahawa perlu ada sifat tolong menolong dan kasih sayang diantara satu sama lain.

Ibarat yang telah lama digunakan oleh orang Melayu seperti cubit paha kanan, paha kira juga terasa sakitnya. Oleh itu kita hendaklah mengasihi dan menyayangi sesama Muslim sebagaimana kita mengasihi dan menyanyangi diri kita sendiri. Dengan adanya sifat yang sedemikian rupa, maka tidak adalah rasa rendah diri dan disishkan oleh masyarakat bagi orang-orang yang miskin, dan tidak adalah rasa bonggkok dan sombong diri bagi orang-orang bangsawan atau yang kaya raya.

Biar ditahap mana sekalipun kita berada, kita hendaklah sentiasa menyedari bahawa kita dari asal usul yang satu dan semua Muslim itu adalah bersaudara dan ada kewajipan yang perlu ditunaikan diantara satu sama lain. Kerana itu Islam mengajarkan kita supaya tidak berhari raya sebelum mengeluarkan zakat fitrah untuk faqir miskin, dan jangan berhari raya sebelum menyediakan korban ‘aidul adha.


Mutiara Kalam [siri 18].
Oleh:Ust.Qamaruzzaman an-nadwi

Martabat manusia
Lebih tinggi
Dari
Lazuardi biru
Penghormatan
Akan
Manusia
Adalah berdasarkan
akhlaq.


Iqtibar.
tamarmerbok.blogspot.com

Lembah Gaza yang diganyang Yahudi .

Lebih daripada 1.5 juta penduduk Gaza meneruskan kehidupan seharian dalan keadaan serba kesempitan akibat sekatan yang dikenakan oleh rejim Aparthied Zionis Israel dan sekutunya.

Sekatan dikenakan semenjak bermulanya Intifadah Al Aqsa pada bulan November 2000 sehingga ke saat ini. Mereka diharang daripada mendapat hak asas kemanusiaan, kebebasan untuk bergerak, pendidikan, bekalan makan dan ubatan, air dan diasingkan sama sekali dari dunia luar.

Zionis Israel membina Tembok Kematian, mengurung rakyat Pelestin dengan tembok batu setinggi 8 hingga 15 meter. Begitu juga dengan sekutunya Mesir, turut membina Tembok Besi bagi menutup sebarang laluan di sepanjang sempadan Gaza-Mesir dan menyekat segala bahan makanan dan ubatan yang disumbang oleh Umat Islam seluruh dunia kepada rakyat Palestin.

Serangan brutal dan tidak berperi kemanusiaan Zionis Israel ke atas Gaza dari 27 Disember 2008 hingga 18 Januari 2009 sama sekali meranapkan kehidupan di Gaza. Rumah, sekolah, masjid, universiti, hospital, kilang-kilang malahan apa saja yang diperlukan untuk kehidupan dirosakkan atau dimusnahkan dengan sengaja.

Mereka dihalang untuk mendapatkan bantuan luar, disekat daripada melakukan perkerjaan serta diserang hampir setiap hari. Tidak cukup dengan segala macam tindakan dan serangan yang dilakukan oleh Zionis Israel terhadap rakyat Palestin, amat mendukacitakan kerana pemerintah Mesir pula bertindak sebagai sekutu kuat Israel dengan memusnahkan semua laluan terowong yang menghubung dari gurun Sinai dan Gaza yang digunakan penduduk Gaza bagi mendapatkan bekalan makanan. Pemerintah Mesir menggunakan gas beracun diikuti dengan dinamit dan bahan letupan dalam terowong untuk menghancurkannya.

Dalam letupan itu lebih 40 orang penduduk Gaza yang terdesak menggunakan laluan terowong tersebut meninggal dunia. Marilah kita sama-sama berdoa’ semoga rakyat Palestin akan terbebas dari kejahatan Rejim Zionis Israel laknatullah alaih dan sekutunya.

Sesungguhnya Yahudi dan Nasara tidak akan berdiam diri selagimana kita tidak mengikut cara atau millah mereka.


Tafsir al-Qur’an [Ruhul Ma’ani]
Oleh: Ust.Qamaruzzam an-nadwi

Dalam ayat ini 3 sifat muttaqin yang akan dapat mengambil manfaat dari al-Qur’an untuk dapat berada di atas ‘siratol mustaqem’ iaitu iman soleh dan infaq harta. Iman sudah pasti yang menjadi asas atau pati bagi manusia untuk sampai kepada ALlah s.w.t.

Tetapi bila ‘amal dihuraikan maka banyaklah perkara, tetapi disini hanya dua sahaja yang digunakan iaitu soleh dan infaq harta. Di sini mufassirin memberi isyarat bahawa segala ‘amal manusia terbahagi kepada dua iaitu berkaitan dengan tubuh badannya atau berkaitan dengan harta bendanya.

Solah adalah ‘ibadat yang berkatan dengan tubuh badan manusia, solatlah yang paling unggul dan perkataan infaq merangkumi segala – segalanya ‘ibadah. Di sini kita dapat memehami bahawa muttaqin adalah mereka yang keyakinannya sempurna dan ‘amalnya juga kearah kesempurnaan.

Dan bila bersatu iman dan ‘amal maka bermulalah Islam. Oleh itu kita perlu juga mengetahui perbezaan antara Islam dan Iman.
[bersambung]

بول جا ل Bol chal.Oleh:Ust.Qamaruzzaman an-nadwi

Dimana pejabat penerbangan ?
Where is the air lines office ?

اين مكتب الطيارة ؟
Aina maktabu taiyarati ?

حواي جها ز كا دفتر كحا هي ؟
Hawai jahaz ka daftar kaha hai ?

Di mana peramugara ?
Where is the hostess ?

اين المضيفة ؟
Ainal muzafatu ?

هوسطس كها هي ؟
Hostess kaha hai ?

Saya peramugara.
I am the hostess.

انا المضيفة ؟
Ana almuzaifatu.

مين هوسطس هون .
Mein hostess hun.


Muhasabah.
benhussin.blogspot.com

Persiapan menghadapi mati.

Firman ALlah s.w.t yang bermaksud: “ Sesungguhnya disisi ALlah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benar tentang apa yang ada dalam rahim [ibu yang mengandung]. Dan tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok [sama ada baik atau jahat]; dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya ALlah Maha Mengetahui
Lagi amat meliputi pengetahuan-Nya”.
[Surah Luqman:34]

ALlah turunkan hujan dan membasahi bumi yang kering kontang seterusnya ALlah menumbuh dan menyuburkan tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan tidak lain dan tidak bukan hanya untuk makhluq-Nya yang bernama manusia.

Dengan bekalan makanan daripada tumbuh-tumbuhan itu untuk dimakan oleh manusia untuk memberi kesihatan dan keupayaan bagi menjalani kehidupan seharian di atas muka bumi ini. Kesihatan dan keupayaan yang diberi oleh ALlah adalah percuma, tetapi manusia perlulah membalasnya dengan mengikut segala perintah oleh ALlah, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Orang yang tidak melakukan persiapan bekalan adalah orang yang jahil, dungu dan apapun namanya kerana berfoya-foya di dunia tanpa ingatkan alam kematian. Seorang Muslim yang ingat alam kematian akan sentiasa melakukan persiapan bekalan untuk kita mengadap-Nya di Yaumul Masyar kelak.

Beberapa perkara yang perlu diambil kira sebagai persiapan kita menghadapi kematian ialah:

Bergaul dengan orang-orang sholeh, ‘alim yang sentiasa mengajak kita ber’amal dengan ilmu-ilmu Allah dan Sunnah Nabi S.A.W.

Membaca al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi S.A.W dan ber’amal dengannya.

Melakukan apa yang diperintahkan oleh ALlah dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

Tidak menghabiskan waktu dengan melakukan perkara-perkara yang sia-sia seperti melepak di kedai-kedai kopi atau shopping complek, pusat-pusat hiburan dan siber atau sebagainya.

Maka marilah kita bersama-sama membuat persiapan yang sebaiknya untuk kita ke sana nanti, kita berda dalam keadaan yang diredhai oleh ALlah s.w.t.


Pelik tapi benar.
amirussin@yahoo.com

Akibat mencaci.

Doa’ merupakan senjata orang mukmin. Saad bin Abi Waqash adalah sahabat Rasulullah S.A.W yang pernah didoa’kan oleh baginda: “Ya ALlah, tepatkanlah bidikan panah dan kabulkan doa’ nya”.

Saad mempunyai dua senjata yang berkesan iaitu doa’ dan panahnya.Usamah bin Qatadah atau Abu Sa’adah telah menderita akibat doa’ Saad. Apabila orang bertanya tentang nasibnya, dia Cuma berkata “ Aku adalah orang tua yang malang, Tuhan telah mengabulkan doa’ Saad bin Abu Waqash ke atas diriku”.

Puncanya adalah kerana dia menfitnah Saad. Pada masa Sayidina Umar Al-Khattab r.a menjadi Khalifah, Saad bin Abi Waqash menjadi gebenor Iraq. Kufah termasuk dalam wilayahnya.

Abu Sa’adah telah menfitnah Saad sehingga berjaya mempengaruhi ramai penduduk Kufah. Mereka pergi menemui Khalifah Umar r.a dan meminta supaya Saad dipecat dari jawatannya sebagai gabenor. Diantara tuduhan itu, Saad dikatakan tidak pandai mengerjakan solat dengan betul.

Kemudian Saidina Umar r.a memanggil Saad dan bertanyakan kebenaran tuduhan itu. Saad menjelaskan “Demi ALlah, aku mengerjakan solat bersama mereka sebagaimana solatnya Rasulullah s.a.w, iaitu memanjangkan dua rakaat pertama dan memendekkan dua rakaat terakhir”.

Saidina Umar r.a mempercayai kata-kata Saad lalu menghantar kembali Saad ke Kufah bersama beberapa orang utusan untuk bertanya kepada penduduk di sana mengenai dirinya. Mereka memasuki setiap masjid dan bertanyakan kepada jemaah di situ mengenai Saad. Masing-masing menjawab dengan jujur dan memuji kebaikan Saad.

Akhirnya mereka sampai di Masjid Bani Abbas. Ada yang sedang solat dan ada yang sedang berbual. Salah seorang daripada mereka adalah Abu Sa’adah. Saad dan pengiringnya menghampiri kumpulan Abu Sa’adah dan turut mendengar perbualan mereka. Sehinggalah isi perbualan itu menyentuh mengenai Saad. Mereka tidak mengenali tetamu yang turut mendengar perbualan mereka.

Salah seorang tetamu bertanyakan kepada Abu Sa’adah mengenai Saad bin Abu Waqash, tanpa merasa bimbang dia menjawab “Dia adalah seorang yang tidak suka keluar memimpin pasukan perang, jika membahagikan harta, tidak pernah sama rata dan tidak adil alam menjatuhkan hukuman”.

Saad amat terkejut dan dia berkata “Ingatlah! Saya ingin berdoa’ tiga perkara. Ya ALlah, jika hamba Mu ini berdusta semata-mata mencari nama dan kedudukan, maka panjangkanlah umurnya, jadikanlah dia miskin sehingga ke tua dan hadapkanlah dia dengan berbagai fitnah”.

Doa’ Saad benar-benar menjadi kenyataan. ALlah mengurniakan usia yang panjang kepada Abu Sa’adah. Hidupnya sentiasa melarat, berbagai penyakit lahir terdapat pada dirinya.

Oleh itu kita perlulah menjauhi sikap suka menfitnah kepada orang. Menfitnah adalah perbuatan dosa yang dimurkai ALlah.


Soal jawab
amirussin@yahoo.com

Soalan : Apakah hukum mengedar kotak derma ketika khutbah jumaat ?

Jawapan : Sabda Nabi s.a.w diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “ Maka apabila imam telah keluar [dan memulai khutbah], malaikat hadir dan ikut mendengarkan zikir [khutbah]”.
[Hadis riwayat Bukhari no.881 dan Muslim no.850]

Imam an Nawawi menjelaskan dalam Syarah Sahih Muslim dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a terdapat larangan memegang –megang kerikil dan barang-barang yang lain yang tidak berguna sewaktu imam sedang berkhutbah. Di dalamnya terdapat isyarat agar menghadapkan hati dan anggota badan untuk mendengar khutbah, makna lagha [perbuatan sia-sia] adalah perbuatan batil yang tercela dan hilang pahala jumaat nya.

Maka perkara yang terbaik ketika imam sedang berkhutbah adalah diam dan mendengarkannya. Pengedaran kotak derma adalah menjadi kesalahan kerana menganggu kekhusyukan dalam mendengar khutbah.

Oleh itu sesiapa yang ingin menderma pada hari jumaat hendaklah ia menderma sebelum imam membaca khutbah atau sesudah solat jumaat.


Tip Nabawi.
Oleh:Ust.Qamaruzzaman an-nadwi


Ada sebuah hadis Nabi s.a.w yang menyatakan iaitu sekiranya seekor lalat jatuh ke dalam minuman yang kita hendak minum, maka peminum itu hendaklah menenggelamkan lalat itu ke dalam air minuman tersebut seluruhnya, setelah itu barulah dibuang lalat itu.

Nasihat ini nampaknya ganjil, tetapi sains telah membuktikan bahawa lalat membawa pathogen pada sebahagian badannya. Ahli mikrobiologi menjumpai parasit di dalam perut lalat. Sel-sel sebagai sebahagian dari pusingan pembiakkannya, menganjur melalui saluran pernafasan [respi ratory tubules] lalat itu.

Apabila lalat itu ditenggelamkan sepenuhnya ke dalam cecair, maka akan menyebabkan sel-sel itu pecah. Isi kandungan sel adalah penawar bagi pathogen yang ada pada badan lalat itu. Betapa tepatnya ‘amalan Nabi S.A.W .


Strategi menjelang peperiksaan.
tamarmerbok.blogspot.com

Persediaan Qalbi.
Selain persedian ‘aqli dan jasadi, persediaan qalbi [hati] amatlah penting untuk menghasilkan otak yang cerdas dan tajam. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “ Andainya hati anak Adam ini tidak dikelilingi syaitan, mereka mampu melihat kerajaan langit ”.
[Hadis riwayat Ahmad]

Setiap pelajar Muslim hendaklah menyediakan hatinya dengan memperbanyakkan ‘amal ibadah kerana ALlah s.w.t dan menjauhi perkara-perkara yang munkar. Hanya hati yang bersih memudahkan pelajar Muslim mendapat petunjuk dan bimbingan dari ALlah dalam menuntut ‘ilmu dan menerima ‘ilmu yang bersifat suci.

Persediaan ‘Aqli.
Programkan otak kita bahawa peperiksaan [imtihan] ialah satu perkara yang positif.Yakinlah bahawa peperiksaan dan ujian sebenarnya meningkatkan prestasi kita dalam pelajaran, dengan izin ALlah pemikiran yang positif akan mendosong kita meraih kejayaan.

Berlatih menjawab soalan seperti dalam peperiksaan sebenar.
Apabila mengkaji bentuk-bentuk soalan perlulah kita meminta bantuan guru-guru yang lebih arif dan rakan-rakan yang memberi sokongan. Kaedah ini melatih kita menjawab seperti format peperiksaan yang sebenar.

Mata pelajaran seperti matematik perlu kepada banyak latihan bagi mencapai tahap kemahiran menjawab yang diperlukan. Usahalah seikhlas mungkin kerana ALlah s.w.t, insya ALlah akan memudahkan kejayaan untuk kita.

Persediaan jasadi.
Kesihatan.
Agama Islam mementingkan kesihatan sama ada kesihatan rohani dan jasmani. Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk menghadapi peperiksaan.

Cukup tidur.
Tidur yang cukup bagi seseorang pelajar ialah antara 6-7 jam sehari.Kurang tidur akan menyebabkan kesegaran tubuh badan akan merosot.Kita digalakkan untuk bangun malam [qiammullail ] solat tahajjud disamping berdoa’ kepada ALlah.

Imam al-Ghazali membahagikan waktu kepada tiga perkara, 1/3 untuk belajar, 1/3 untuk rehat, 1/3 untuk bermunajat kepada ALlah.

Jaga pemakanan.Firman ALlah yang bermaksud: “ Makanlah dari makanan yang baik yang telah kami berikan”. [S.al-Baqarah 2:5]

Yang baik semestinyalah yang halal, makanan yang haram akan menggelapkan hati. Hati yang gelap tidak akan dimasuki oleh ‘ilmu.

Ingatlah persediaan yang secukupnya akan menjamin dan penentu kejayaan seseorang pelajar.


English Section
amirussin@yahoo.com

How can one enter Islam?
Very easy. Just say, “ I testify that there is no God but ALlah and the Muhammad is ALlah’s messenger “, these are called the two testimonies[shahadatain].

The first testimony asserts that God is one only and that He is ALlah, not anyone else. This is an assertion of God’s oneness.

The second testimony asserts the message of Prophet Muhammad. This entails your acceptance of the book revealed to Prophet Muhammad. i.e, the Holy Qur’an.

So these two testimonies do, in fact, mean a lot, the belief in ALlah, the belief in one God, and the belief in Muhammad’s divine message. The two testimonies are the declaration of going into Islam. Later, more abiding to Islamic details is expected and required.

If you say these two testimonies, you become a Muslim. Later, you should know more about Islam. Learn more and more daily, little by little. Know what is required from you, and obey God to the best of your ability.

If you embrace Islam, you lose nothing, and win everything. You win yourself. You win now in this life, and you win in the other life. By embracing Islam, you have had the best choice, and you have made the best and most essential decision in your life. You must thank God that you are Muslim. Thank Him millions of time that He has guided you to Islam.

Nazam

Sepuluh jari disusun rapi
Mohon salah kita dimaafi
Moga diri kita kan direstui
Oleh Tuhan Rabbul Izzati.

Jalan berliku kita susuri
Gunung tertinggi kita mendaki
Lautan api kita renangi
Demi menggapai redhaMu Ilahi.

Wahai saudara jua saudari
Apa rintangan tabah hadapi
Segala cabaran tekun redahi
Kerana ia tiada ulangi.

Wahai suami ingin dipesan
Para isteri ibarat badan
Tulang bengkok usah terkesan
Contohnya Rabiah dan juga Hasan.

Khusus jua wahai isteri
Para suami hendaklah ta’ati
Selagi ta’atnya pada Ilahi
Jika tidak hendaklah ingkari.

Ahmad Muhammad.

Untuk langganan albayan hubungi Ust.Qamaruzzaman: 013 4849471.1 Tahun RM 25.00 . 6 Bulan RM 12.50 [Harga termasuk bayaran pos]. Untuk mendapatkan barangan kesihatan sila lawati www.tamarmerbok.blogspot.com.