Thursday, March 17, 2011

Muqaddimah

الســــلا م عليــــكــم ورحمة الله وبركاته, Dengan Nama ALlah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang.

i.
Imam al-Ghazali mengingatkan “Anak-anak merupakan amanah bagi kedua orang tuanya. Hatinya yang suci masih bersih tanpa sebarang corakkan. Dia sedia dicorak dan cenderung dengan apa yang dicorakkan, jika diukir dengan corak yang baik maka akan membesarlah ia dengan suasana yang baik dan akan menjadi anak yang baik. Begitulah sebaliknya. Oleh itu, jadilah awal anak-anak mengenal ALlah.

ii.
Kajian mengenai moral pelajar perempuan yang dilakukan oleh seorang ahli akedemik UKM mendapati 886 dari 887 pelajar berada dalam kategori ‘berisiko tinggi’ yang menuntut di sekolah menengah pernah melakukan hubungan seks. Kajiannya juga mendapati 98 peratus pelajar terbabit dalam kongsi gelap, 96.8 peratus terbabit dalam kes perjudian, 85.4 peratus melakukan vandalisme, 77.2 peratus ponteng sekolah, 97.3 peratus terdedah kepada bahan lucah.

iii.
Seketika dulu kita dikejutkan dengan penglibatan remaja Muslim dengan beraneka kumpulan dan fahaman yang membawa keruntuhan aqidah dan moral seperti Black Metal yang mendoktrinkan pemujaan syaitan, mengoyak dan memijak al-Qur’an, menari dan melakukan seks serta kencing beramai-ramai di atas
al-Qur’an. Selain itu ada fahaman metal-metal yang lain.

Institusi keluarga mestilah seiring dengan institusi-institusi pentarbiahan yang lain bagi mendidik anak-anak. Semua gejala-gejala ini masih berada dilingkungan kita, maka kita hendaklah sentiasa berwaspada. Gejala-gejala ini adalah ancaman virus kepada aqidah dan moral anak-anak kita hasil daripada proses pemodenan yang tidak terkawal dan seimbang diantara material dan spiritual.
amirbenhussin@gmail.com


Tokoh.
amirussin@yahoo.com

Khadijah al-Khuwailid. Isteri terbaik.

Wanita pertama yang beriman pada saat semua orang mengingkari kerasulan Nabi SAW. Wanita yang sangup mendermakan seluruh hartanya pada saat orang lain enggan memberinya. Wanita yang mampu memberikan Rasulullah SAW keturunan dan wanita yang bijak meneguhkan hati seorang suami pada saat semua orang membencinya.

Itulah wanita pilihan ALlah yang diberikan pada Rasul-Nya iaitu Khadijah al-Khuwailid.

Beliau terkenal sebagai Ummu al-Qasim binti Khuwailid bin Asad bin Abdul ‘Uzza bin Qushai bin Kilab, lahir di Umm al-Qurra [Makkah] sekitar 15 tahun sebelum Tahun Gajah. Berketurunan Suku Quraisy daripada keluarga Bani Asad.

Sejak zaman jahilliah, beliau digelar dengan gelaran al-Tahirah [wanita suci] oleh masyarakat setempat. Ini disebabkan beliau sukakan kebersihan dan kesucian. Ibunya bernama Fatimah binti Za’idah al-‘Amiriyah.

Beliau merupakan seorang usahawan wanita terkemuka yang sangat berjaya dalam bidang perniagaan. Dimahkotakan sebagai Ummu al-Mukminat yang pertama setelah berkahwin dengan Rasulullah SAW yang baru berusia 25 tahun. Lebih muda 15 tahun dari usianya .

Sebelum Khadijah ra berkahwin dengan Nabi SAW, beliau telah berkahwin dengan Abu Halah bin Zurarah al-Tamimi, ‘Atiq bin ‘Abid bin Abdullah bin Umar bin Makhzum, setelah itu beliau menolak semua lamaran dari pembesar Quraisy sehinggalah hatinya terbuka untuk Muhammad bin Abdullah.

Khadijah ra adalah isteri kesayangan Nabi SAW, beliau dimuliakan suami ketika hidup dan sesudah wafat.Sentiasa dikenang dan menjadi ingatan abadi.Pujian yang sentiasa meniti di bibir Nabi SAW yang mengundang kecemburuan Aisyah ra biarpun pada masa itu Khadijah ra telah wafat.


Dars Bukhari
www.tamarmerbok.blogspot.com

Dari Nuqman bin Bashir katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Ketahuilah, sesungguhnya di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan. Dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh badan. Ketahuilah, ia adalah hati ”.
[Hadis riwayat Bukhari dan Muslimi]

Nabi SAW menekankan kepada kita agar sentiasa memelihara hati. Sakit hati perlu diubat, manakala hati sakit perlu dirawat. Merawat hati tidak semudah mengubatinya. Untuk merawat hati kita sebagai pembawa dan pemiliknya harus pandai dan bijaksana bagi menjadikan hati kita sentiasa sihat.
Untuk merawat hati, kita tidak perlu sebarang ubat Homeopathy atau ubatan biasa seperti panadol, tetapi kita perlu ubatan terapi yang lain iaitu hendaklah sentiasa menyiramnya dengan kalimah zikrullah, ilmu tentang Islam, keyakinan yang teguh tentang Islam dan sentiasa mendengar hadis-hadis Nabi SAW pasti akan membawa kepada hati yang sihat, putih bersih dan disinari cahaya hidayah.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi dan lain-lainnya, kita diberitahu bahawa “ Apabila seseorang hamba itu melakukan dosa, maka akan ada satu titik hitam di dalam hatinya. Apabila dirinya meninggalkan dosa itu, beristighfar dan bertaubat, maka hatinya akan dibersihkan kembali. Jika ia kembali melakukan dosa, akan ada titik hitam dalam hatinya, sehinggalah titik hitam itu meliputi seluruh hatinya ”.

Oleh itu sentiasalah berhati-hati menjaga hati kita supaya tidak diselaputi titik-titik hitam, yang berkemungkinan sebenarnya tanpa disedari telah banyak menguasai sebahagian besar hati kita.Oleh itu jagalah jangan sampai kita gelap hati. Ingatlah gelap hati lebih merbahaya dari gelap mata.


Mutiara Kalam [siri 22].
Oleh: Ust.Qamaruzzaman an-nadwi

Sesiapa pun jua
Yang mencari ALlah
Hanya ketika
Menghadapi maut
Pasti sudah terikat
Kepada benda
Amat takut sekali
Menghadapi maut.


Iqtibar.
tamarmerbok.blogspot.com

Jiran Nabi SAW di dalam syurga.
Seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Rabi’ah bin Ka’ab suatu ketika pernah melayani Nabi SAW dengan penuh khidmat. Beliau mengambilkan air untuk berwudu’ kepada Baginda setiap kali hendak solat juga memenuhi semua hajat dan keperluan Baginda.

Untuk membalas kebaikan ini, Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Wahai Rabi’ah, mintalah sesuatu daripadaku”.

Rabiah menjawab: “Aku minta agar dapat bersama tuan nanti di syurga”.

Baginda bersabda lagi: “Apakah ada permintaan yang lain?”. Rabi’ah berkata: “Itu sahaja”.

Rasulullah SAW lalu bersabda yang bermaksud: “Maka bantulah aku dengan memperbanyakkan sujud”. [Riwayat Muslim]

Hadis ini membuka jalan bagi kita untuk menjadi jiran Rasulullah SAW di dalam syurga firdaus, iaitu dengan cara memperbanyakkan solat sunah. Semakin banyak rakaat solat sunah yang kita lakukan, semakin besar kesempatan kita untuk menempati syurga firdaus bersama-sama Rasulullah SAW.


Tafsir al-Qur’an [Ruhul Ma’ani]
Oleh: Ust.Qamaruzzam an-nadwi

مثلهم كمثل الذي استو قد نارا فلما اضا ءت ما حو له ذهب الله بنورهم وتركهم في ظلمت لا يبصون

Perbandingan hal mereka [golongan yang munafik] samalah seperti orang yang menyalakan api apabila api itu menerangi sekelilingnya yang menerangi mereka dan dibiarkan mereka dalam gelap gelita tidak dapat melihat sesuatu pun.

صم بكم عمى فهم لا يرجعون

Mereka seolah-olah orang yang pekak, bisu dan buta dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali kepada kebenaran.

Alangkah malangnya mereka bila kehilangan cahaya hidayah, maka tertutuplah mata hatinya dari bimbingan hidayah.


بول جا ل Bol chal.
Oleh:Ust.Qamaruzzaman an-nadwi

Di tingkat ketiga.
On the third floor.

في الطا بق الثا لث.
Fi tobiqi salisi.

تيسرى منزل فر.
Tisri manzil par.

Saya tidak suka bilik ini.
I do not like the room.

لا احب هذه الحجرة.
La uhibbu hazal hujrata.

مجهى يه كمره فسند نهين هى.
Mujhe yeh kamre pasand nahin he.

Tiada permandangan dari sini.
It has no view.

لا يرى منها منظر.
La ura minha manzarun.

اس كؤى منظر د كها ى نهين ديتا.
Is se kue mazir dekhai nahin deta.
+++++++++++++++++++++++++

Muhasabah.
benhussin.blogspot.com

Doa’ untuk kedua ibu bapa.

Firman ALlah SWT yang bermaksud: “Wahai Tuhan, kasihanilah mereka berdua [ibu bapa], sebagaimana mereka mengasihiku [mengasuhku] ketika kecil”. [Surah al- Isra’ 17:24]

ALlah mengajar kita untuk berdoa’ kepada kedua ibu bapa tanpa syarat ketika kita kecil. Berdoa’ kepada kedua ibu bapa boleh kita lakukan semasa kedua ibu bapa masih ada di atas muka bumi ini. Boleh saja kita berdoa’ untuk mereka supaya ALlah berikan mereka istiqamah dalam menta’ati ALlah, teguh di atas jalan keimanan, menemui Penciptanya dengan husna al-khatimah [kesudahan yang baik], dimurahkan rezeki dan diganjari dengan redha ALlah dan pahala-Nya.

Nabi SAW mengajar kita sentiasa berbuat baik terhadap kedua ibu bapa walaupun mereka sudah tiada. Daripada Malik bin Rabi’ah al-Sai’di, katanya: “Ketika kami bersama Nabi SAW, seorang lelaki dari Bani Sulaim datang bertanya kepada Nabi SAW: ‘Wahai Rasulullah, adakah ada sesuatu yang boleh aku lakukan untuk menyambung bakti kepada ibu bapaku selepas mereka meninggal dunia?’ Baginda menjawab: ‘Ya. Doa’kanlah mereka, mohonlah keampunan untuk mereka, laksanakan janji mereka, hormatilah sahabat mereka dan sambunglah tali persaudaraan yang tidak bersambung melainkan dengan keduanya”. [Riwayat Ibn Majah-sanadnya lemah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Albani dan Shu’aib al-Arnut]


10 Perkara Yang Perlu Ada Pada Setiap Muslim.
amirussin@yahoo.com

6. Nafi’an Lighorihi [bermanfaat kepada orang lain].

Apabila sesorang Muslim memiliki 5 faktor yang terdahulu, tidak mustahil dirinya boleh dimanfaatkan kepada pembangunan dan kemajuan agama, masyarakat, bangsa dan negara, melalui pengajaran ilmu-ilmu alat dan ukhrawi, kedua-duanya tidak dapat tidak mesti ada pada setiap diri seorang Muslim.

7. Mujahidan Linafsi [berusaha menjadi Muslim yang baik].

Salah satu faktor yang menentukan seseorang Muslim mendapat kejayaan rohani dan jasmani. Mengikut cara hidup Rasulullah SAW yang berjaya menjadi seorang pemimpin yang agong disiang hari, abid di waktu malam, ayah yang murabbi, suami mithali kepada isteri-isterinya.

8. Qadiran ‘ala al-Kasb [mampu berusaha untuk mencapai kejayaan].

Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang berjaya menjadi seorang pemimpin dan berjaya mentarbiah masyarakat hampir seluruh dunia dengan iman dan taqwa.

9. Harison ‘ala al-wakt [menjaga waktu].

Pengurusan waktu amat penting, al Imam Hasan al Banna mengatakan bahawa ‘Tanggungjawab [terhadap agama] yang ada lebih banyak dari waktu yang ada’.

10. Munazziman fi syuunnihi [tersusun segenap urusan hidupnya].

Urusan hidup seorang Muslim hendaklah tersusun rapi, semua pekerjaan hari ini hendaklah diselesaikan terlebih dahulu dan tidak ditangguhkan kepada hari esoknya.


Tarbiyyatul Aulad
amirbenhussin@gmail.com

Panduan mengajar anak solat.

1. Ajarkan anak kalimah tauhid sebelum mengajarnya solat.
2. Ajarkan tentang rukun Islam.
3. Cerita tentang solat, kenapa disuruh solat, kesan positif daripada solat, azab orang yang tidak bersolat dan cara solat.
4. Latih anak mengikut setiap gerakan dalam solat terlebih dahulu walau tanpa bacaannya.
5. Ajar bacaan dalam solat bermula dengan surah-surah yang mudah.
6. Boleh menyuruh solat seawal usia sebelum 7 tahun.
7. Ajar cara berwudhu’.
8. Lakukan bersama.
9. Hapuskan segala gangguan dengan menutup TV, jauhkan dari mainannya dan sebagainya.
10. Bawa anak solat di masjid.
11. Ingatkan anak tentang masuknya waktu solat.
12. Bersabar dalam mengajak anak bersolat.
13. Beri hadiah dan sebagainya untuk galakkan anak bersolat.
14. Ingatkan tentang orang yang tidak bersolat akan menjadi bahan bakar api neraka.
15. Anak-anak yang sudah berumur 10 tahun boleh dipukul sekiranya tidak bersolat.
16. Ibu bapa juga hendaklah tidak meninggalkan solat serta sentiasa berdoa’ semoga anak diberikan hidayah dan ringan tulang untuk bersolat.


Soal jawab
amirussin@yahoo.com

Soalan: Apakah Islam membenarkan kencing sambil berdiri ?

Jawapan: Terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ tentang hukum kencing sambil berdiri. Terdapat sebahagian ulama’ yang mengatakan haram, namun sebahagian yang lain mengharuskannya, dengan syarat air kencing tidak terkena atau terpercik pada badan atau pakaian.

Dari Aisyah rh katanya, “Sesiapa yang ceritakan kepada kamu bahawa Nabi SAW kencing berdiri, maka jangan membenarkannya, Baginda tidak pernah kencing kecuali secara duduk”.

Namun dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Huzaifah RA dan disahihkan oleh Imam Muslim, disebutkan bahawa Rasulullah SAW pernah kencing sambil berdiri.


Tip Nabawi.
Oleh:Ust.Qamaruzzaman an-nadwi

Firman ALlah SWT, keluar dari lebah itu minuman yang berbagai warna yang menjadi ubat pada mu. Madu atau manisan lebah dicampur dengan air panas boleh mengubat cirit birit, sabda Nabi SAW “Demi ALlah yang aku dalam gengamannya minumlah madu malaikat akan memohon rahmat kepada penghuni rumah yang ada madu didalamnya.

Jika seseorang itu meminum madu, seribu ubat masuk keperutnya sejuta penyakit keluar darinya. Nabi SAW sendiri selalu meminum segelas air dicampur madu setiap pagi ketika perut kosong.

Madu dianggap ibu segala makanan, minuman dan ubatan. Ia menerbitkan selera makan, mengecutkan perut dan menghancurkan balgham, juga digunakan sebagai pengawet daging, menggalakkan rambut, disapu pada mata dan membasuh mulut.

Madu yang paling baik adalah madu yang dikeluarkan pada musim bunga, yang kedua terbaik adalah pada musim panas dan yang kurang kebaikkannya adalah yang dikeluarkan pada musim sejuk.


Siapa Orang yang ALlah Cinta?
tamarmerbok.blogspot.com

Orang yang bertaqwa.
Firman ALlah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ALlah menyukai orang yang bertaqwa”. [Surah at-Tawbah 9:4]

Orang yang cepat-cepat bertaubat.
Firman ALlah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ALlah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri”. [Surah al-Baqarah 2:222]

Orang yang ‘adil.
Firman ALlah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ALlah menyukai orang yang berlaku ‘adil”. [Surah al-Mumtahanah 60:8]

Orang yang bertawakal.
Firman ALlah SWT yang bermaksud: “Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada ALlah. Sesungguhnya ALlah menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya”. [Surah Ali ‘Imran 3:159]

Orang yang berbuat kebaikan.
Firman ALlah SWT yang bermaksud: “Dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya ALlah menyukai orang yang berbuat baik”.[Surah al-Baqarah 2:195]

Orang yang berjuang pada jalan ALlah.
Firman ALlah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ALlah menyukai orang yang berperang pada jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”. [Surah al-Saff 61:4]


Panduan Untuk Pengguna Internet.
[Khas Buat Remaja dan Kanak-kanak].
amirbenhussin@gmail.com

Instant massage, Texting, Talifon, WAP, WiFi, Facebook, Twitter dan Blog bagaikan tidak akan berakhir. Sekiranya anda berminat dan diantara salah seorang yang menggunakannya pasti akan muncul pula yang lebih hebat dengan isu keselamatan yang baru. Dengan mengetahui beberapa petua ringkas, anda boleh melayari internet dengan selamat.

LOL [laughing out loud].
Penggunaan gaya bahasa dan cara penggunaannya akan menimbulkan minat untuk terus melayari. Tetapi gunakanlah dengan bijak dan berhemah.

TTYL [talk to you later].
Jangan hantar atau taip mesej selain daripada mesej yang kami hantar. Setuju?

BTW [by the way].
Dengan menggunakan filtering software anda boleh menghalang kandungan yang tidak berfaedah dan langkah terbaik adalah dengan mengenali rakan bual anda. Ingat! Jangan sekali-kali bertukar-tukar maklumat peribadi dan gambar anda di internet.

GTG [go to go].
Amalan terbaik semasa anda melayari internet supaya anda tidak digodam, mendapat virus atau menjadi mangsa pencuri identiti, anda perlu mengabaikan masej dari orang yang tidak dikenali, bertanya tentang kata laluan dan maklumat peribadi, melihat laman web lucah yang muncul secara tiba-tiba dan menerima e-mail remeh [spam] seperti peraduan palsu dan e-mail hadiah percuma. Oleh itu sentiasa berwaspada dan sentiasa memadam e-mail [spam].

Bertindak dengan bijak, jangan tertipu.

Terdapat pengguna internet yang sentiasa mencari peluang untuk menganiaya orang lain terutama remaja dan kanak-kanak. Kebiasaanya mereka akan menghantar e_mail/masej [IM] tersebut. Oleh itu jangan sekali-kali :
• Berikan nama, alamat, nombor telefon, nama sekolah atau kata laluan.
• Bertemu dengan orang yang tidak dikenali semasa anda berbual di internet tidak kira apa yang mereka katakana.
• Membuka e_mail atau lampiran, mempercayai gambar dan mesej yang anda terima daripada orang yang anda tidak kenali.
• Sembunyikan sesuatu daripada ibu bapa, guru atau penjaga anda jika seseorang atau mesej yang dihantar menjadikan anda berasa tidak selesa.

Antara lain hendaklah:

. Berfikir dahulu sebelum membuka e_mail yang tidak dikenali.
• Laporkan spam dan virus kepada MyCERT, ISP, orang dewasa atau polis.
• Pastikan maklumat diri dirahsiakan.
• Jangan memberi sebarang maklumat, gambar, no telefon, kata laluanno pin bank atau no akuan bank kepada sesiapa yang tidak anda kenali serta jangan membalas sebarang e_mail yang anda tidak kenali.
[maklumat dari (ISC)2 kerjasama CyberSecurityMalaysia]


Rahsia Sumber ‘Alam
amirussin@yahoo.com

Khasiat daun mengkudu.

Orang tua-tua dahulu mengamalkan pemakanan buah mengkudu sebagai makanan kesihatan, tapi tahukah kita bahawa daunnya juga mempunyai fungsi perubatan yang tinggi sebagai bahan atau sebatian antioksida.

Daunnya sedap dijadikan sebagai ulam tidak kira siang atau malam, telah diamalkan oleh orang-orang tua dahulu dan mengandungi khasiat yang banyak diantaranya ialah dapat mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kanser, penyakit berkaitan jantung, diabetes dan penuan. Antara lain daunnya juga digunakan oleh orang-orang tua dahulu untuk meredakan kembung perut bagi kanak-kanak dan bayi.

Buahnya dikenali dengan pelbagai nama mengikut negara antaranya nono, noni, lada, nhau, bumbo dan kura.

English Section
amirussin@yahoo.com

Why are there calamities, famines, earthquqkes, volcanoes, and diseases afflicting ?

Death is the end of every living creature. No living creature can live for ever. The living cell has a limited life period, like a bettery. Any being that has a geginning has an end, which is unchangeable law of creation.

Death is coming, whether we like it or not. Death is death although it is has different reasons such as diseases, accidents or war.

I know sick old persons who used to earnestly ask God to put an end to their lives. One of them used to say “It is enough, God. I don’t want more years. Please, God, take away my soul”.

Death to them was a moment of mercy. According to Islam, one is rewarded by God for any disaster or disease which he suffers and bears with patience.


Hiqmat Ki Bati [Kata-kata Hikmat].
Oleh:Osama

Ap akhirat ki liye itna mehnat karo, jitna din apko udhar rehna hei.

Melakukan usaha [‘amal] untuk akhirat,berapa lamakah yang perlu kamu mendudukinya di sana.


Nazam

Bisa-berbisa

Bisa berbisa
Pedih terasa
Luka terluka
Terhiris jua

Lambung dilambung
Ombak menggunung
Hempas terhempas
Terdampar jua

Lari berlari
Menyelamatkan diri
Onak dan duri
Menghadir diri

Saling terhalang
Langkahkan jua
Kerana inilah dunia
Bagaikan cuma mimpi

Yang laranya kan padam
Pabila kita terjaga
Di alam barzah sana.

ahmad muhammad
kulim.

Untuk langganan albayan hubungi Ust.Qamaruzzaman: 013 4849471.1 Tahun RM 25.00 . 6 Bulan RM 12.50 [Harga termasuk bayaran pos]. Untuk mendapatkan barangan kesihatan sila lawati www.tamarmerbok.blogspot.com. interaksi dengan kami di www.facebook.com/albayanku.

No comments: