Tuesday, September 27, 2011

Muqaddimah

الســــلا م عليــــكــم ورحمة الله وبركاته
Dengan Nama ALlah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang.

i.
Syawal kembali lagi, dalam keseronokkan menyambut Syawal, ada dikalangan kita amat sedih dan pilu rasanya pabila Ramadhan meninggalkannya. Kesedihan terasa kerana kemungkinan sempatkah atau tidak akan bertemu lagi pada Ramadhan yang mendatang.

ii.
Ramadhan yang mendidik kita dengan berbagai erti hendaknya diteruskan pada bulan-bulan berikutnya, agar diri kita akan terus berada dekat dengan ALlah dan Rasul-Nya. Janganlah kemenangan kita dengan merayakan Syawal terlanggar dengan berbagai gejala mungkar yang menyalahi hukum ALlah.

iii.
Kegembiraan menyambut Syawal, jangan terlalu leka kerana ada saudara-saudara kita yang tidak sempat menjamah makanan atau mungkin tidak sempat menyambut Syawal kerana perlu berjuang melawan kuffar di Chehnya, Palestin, Iraq, Afghanistan dan banyak lagi negara-negara yang menindas dan menzalimi umat Islam.

Semoga ruh Syawal akan lebih menginsafkan kita dan membawa kita kepada lebih bersyukur kepada ALlah dengan keniqmatan yang kita kecapi kini.
amirbenhussin@gmail.com

Tokoh.
amirussin@yahoo.com

Asma’ binti Abu Bakr al-Siddiq .

‘Dengan setia, ia mengikuti suami, bersama-sama dalam perjuangan dan dakwah Islam. Tetapi kesibukannya tidaklah membuat dirinya lupa terhadap putranya sebagai amanah dari ALlah, Ia begitu tekun memelihara dan mendidik putranya, Abdullah bin Zubair, dengan penuh keikhlasan dan cinta’.

Asma’ adalah seorang putri sahabat Rasulullah SAW iaitu Saidina Abu Bakar as-siddiq. Kelahirannya ditengah-tengah masyarakat jahilliah tidak menjadikannya seorang yang engkar pada ALlah. Asuhan dari kedua ibu bapanya yang masih berpegang kuat dengan nilai-nilah fitrah, menyelamatkannya dari terpengaruh dengan ‘amalan masyarakat jahilliah pada masa itu.

Nur Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW dipelajarinya dengan penuh tekun tanpa rasa ragu-ragu. Maka pegangannya terhadap Islam semakin hari semakin mantap dan mampu membentuk peribadi yang berpaksikan keimanan pada ALlah dan Rasul-Nya.

Kematangan dirinya jelas terserlah apabila beliau bersusah payah membantu perjalanan Rasulullah SAW dan ayahnya dari Mekah
ke Madinah. Dalam usia yang masih muda Asma’ binti Abu Bakr sudah tahu betapa pentingnya erti hijrah Rasulullah SAW sehingga beliau sentiasa menutup mulut ketika Abu Jahal mengancamnya supaya memberitahu di mana tempat persembunyian Rasulullah SAW dan ayahnya.
Asma’ banyak terlibat dalam perkembangan dakwah Islam dan memainkan peranan penting dalam berbagai peristiwa semenjak kerasulan Nabi SAW sehinggalah beliau wafat. Beliau juga melalui masa remajanya dengan menjaga dirinya daripada sebarang kotoran tradisi jahilliah.

Asma’ berkahwin dengan Zubair bin Awwam dan dikurniakan seorang putera bernama Abdullah bin Zubair. Keta’atannya kepada suaminya tidak berbelah bahagi, beliau sentiasa bersama dalam memperjuangkan perjuangan dan dakwah Islam serta tekun dalam mendidik puteranya.

Dalam usianya yang ke 100 dan matanya tidak mampu lagi melihat, beliau terus memberi semangat kepada puteranya agar terus pergi berjuang fi sabilillah. Katanya kepada puteranya :

‘ Kalau kau yakin, kau diatas kebenaran, kemudian kau saksikan penderitaan dan kesulitan orang-orang yang menempuh jalan itu, apakah engkau akan menjadi lemah ? Demi ALlah ini bukan lah sikap ornag-orang yang merdeka, dan bukan sikap mukmin yang sejati. Berapa lama engkau akan tinggal di atas dunia ini? Syahid adalah jauh lebih mulia…’
Asma’ meninggal pada usia yang ke 100, Tahun 73 setelah hijrah.


Dars Bukhari
www.tamarmerbok.blogspot.com

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “ Seeorang wanita [biasanya] dinikahi kerana empat perkara; kecantikannya, keturunannya, hartanya dan agamanya. Maka dapatkanlah perempuan yang memiliki agama [yang baik], berdebulah tanganmu ”.
[Riwayat Bukhari dam Muslim]
Dalam kontek hadis ini, Nabi SAW menekankan untuk seorang lelaki yang mampu berkahwin hendaklah berkahwin dengan seorang wanita atau perempuan yang mempunyai nilai akhlaq yang beragama, iaitu yang mempunyai pegangan agama [Islam].

Ini kerana kebanyakkan masyarakat kini tidak meletakkan pilihan seorang perempuan yang beragama dihadapan berbanding mereka lebih suka memilih seorang perempuan yang pertamanya cantik dan yang keduanya berharta. Oleh yang demikian itu, kita dapati kebanyakkan masyarakat memiliki nilai-nilai kepincangan dalam menjalani kehidupan rumahtangga.

Dan kesan daripada kepincangan itulah juga akan melahirkan anak-anak yang pincang dalam sistem kehidupan mereka. Isteri yang beragama adalah tunggak kebahagian rumahtangga dan dapat melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, ini kerana kehidupan awal anak-anak terdidik daripada tunjuk ajar seorang ibu yang solehah yang mementingkan kehidupan yang berlandaskan pegangan agama.

Sekiranya seorang isteri yang akan bergelar seorang ibu, tidak mempunyai asas-asas agama yang cukup bagaimana ia akan mendidik dan mengasuh anak-anak bagi melahirkan anak-anak yang berakhlaq dan berpaksikan kehidupan sebagai seorang muslim yang menta’ati kedua ibu bapa, Nabi SAW dan ALlah SWT.

Sekiranya kedua ibu bapa dapat menjalani kehidupan sebagai hamba ALlah yang sempurna dengan meletakkan Islam sebagai tunggak segalanya, maka kita akan dapati natijah dapadanya akan lahirlah anak-anak yang cintakan ALlah dan Rasul-Nya.

Demi untuk melahirkan usrah Muslim yang diredhai oleh ALlah maka sama-samalah kita berpegang dan ber’amal dengan al-Qur’an, hadis dan sunnah Nabi SAW, mudah-mudahan kita semua berada dijalan yang diredhai-Nya.


Mutiara Kalam [siri 33].
Oleh: Qamaruzzaman an-nadwi

Kekuasaan
Tanpa kerana ALlah SWT
dan berkatnya
Adalah kekafiran.



Sepuluh kriteria Muslim bertaqwa.
benhussin.blogspot.com

Taqwa menurut Saidina Ali r.a. itu ialah:

• Ikhlas dalam ber’amal.
• Menjadikan Rasulullah SAW sebagai Imam, Pemimpin dan Suri Teladan.
• Mencintai dan membenci semata-mata kerana ALlah.
• Tidak menyimpan perasaan dengki, benci, dendam dan hasad kepada sesiapa sahaja dari hamba ALlah SWT.
• Menyempurnakan ibadat fardhu [wajib] dan membekali diri dengan ibadat-ibadat sunnat.
• Beraqidah denga aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
• Menyeru kepada kebaikkan dan mencegah kemungkaran serta tidak kedekut dalam menyebarkan ilmu agama kepada masyarakat.
• Sentiasa ingin mencintai dan bersatu dengan umat Islam serta benci kepada perpecahan di kalangan ummah.
• Merujuk kepada al-Qur’an dan hadis Nabi SAW dalam menyelesaikan perselisihan dan perpecahan.
• Berkata benar dalam apa jua keadaan dan menjauhi perkataan yang bhatil.


Iqtibar.
tamarmerbok.blogspot.com

Nabi Idris Dengan Malaikat Maut.

Nabi Idris AS di lahirkan di Misr. Pada waktu kecil ia belajar daripada Nabi Syis anak kepada Nabi Adam AS. Setelah dewasa ALlah menurunkan kenabian padanya. Kemudia ia mula menjalankan tugas kenabiannya melarang anak cucu Nabi Adam daripada berbuat dosa.

Beliau mendapat tentangan yang hebat daripada mereka. Hanya segelintir sahaja orang yang mahu mengikutinya. Oleh kerana mendapat tentangan yang hebat Nabi Idris dan pengikutnya terpaksa meninggalkan Misr.

Satu hari, sedang beliau dalam perjalanan ke tempat ibadahnya, ada seorang lelaki sedang mengikutinya. Lalu Nabi Idris bertanya, siapa engkau dan kenapa engkau mengikutiku? Lantas pemuda itu memperkenalkan dirinya iaitu malaikat maut yang ingin bersahabat dengannya.

Dengan senang hati, Nabi Idris menerimanya dan membawanya ke tempat ibadahnya. Nabi Idris meminta untuk merasai bagaimana nyawa dicabut, seterusnya melihat neraka dan merasai serpihan azabnya serta melihat syurga dan merasai niqmatnya.

Setelah itu ALlah menempatkannya di langit yang ke empat sehinggalah berlakunya qiamat.

Nabi Idris AS merupakan rasul pertama yang diutuskan kepada keturunan Qabil, anak Nabi Adam AS. Beliau mengingatkan mereka supaya bertaubat dan berkelakuan baik sebagaimana yang dikehendaki syariat, tetapi ditentang hebat oleh kaumnya sehinggalah terpaksa meninggalkan Misr.

ALlah memberi kelebihan padanya dapat bersahabat dengan malaikat maut dan seterusnya dapat merasai serpihan azab neraka dan niqmat syurga.


Tafsir al-Qur’an [Ruhul Ma’ani]
Oleh: Ust.Qamaruzzam an-nadwi

Khulasoh Tafsir ayat 21-23.
Manusia hendaklah menyembah ALlah SWT yang mencipta mereka dan orang-orang sebelum mereka. Disini ALlah terangkan juga niqmat yang ALlah anugerah ke atas hamba-hamba-Nya.

ALlah jadikan bumi sebagai Firash iaitu hamparan dan langit dibentangkan dibinanya dan ALlah turunkan rahmatnya dalam bentuk hujan yang kemudian ALlah keluarkan dari bumi dengan bermacam tumbuhan yang akan menjadi rezeki buat manusia.

Maka ALlah ingatkan supaya manusia jangan lupa atau lalai bahawa ALlah yang mentadbir segala sesuatu, janganlah manusia mengadakan sekutu bagi ALlah dengan keyakinan ‘amalan atau perbuatan yang syirik atau kearah itu.

Ayat ini juga berkaitan dengan bukti tauhid bahawa segalanya adalah ciptaan ALlah SWT.
[bersambung]


بول جا ل
Bol chal.
Oleh:Ust.Qamaruzzaman an-nadwi

1. Untuk siapa ini ?
Who is that for ?

Liman haza ?
لمن هذا ؟

Yeh kis ke leye he ?
يه كيس كي لي هي ؟

2. Siapa di sana ?
Who is there?

Man hunaka ?
من هنا ك ؟

Waha kaun he ?
وها كون هي ؟

3. Tunggu sekejap .
Wait a minute .

Intazir berhatan.
انتظر برهة .

Intizar ki jiye .
انتظر كيجيي .


Muhasabah.
benhussin.blogspot.com

Khusyu’ di dalam solat.

Untuk khusyu’ di dalam solat amatlah susah, semasa solat hati dan fikiran sentiasa merawang memikirkan sesuatu, tetapi walau bagaimanapun kita hendaklah berusaha untuk mendapatkan solat yang khusyu’.

Antara ikhtiar dan usaha kita untuk mendapatkan solat yang khusyu’ antaranya ialah:

# Mengetahui makna-makna dalam solat dan menghafalnya.
# Menjaga waktu solat.
# Membaca istighfar sebelum solat.
# Berselawat.
# Bertafakur dan bermuhasabah diri.
# Mengambil wudhu dengan rohnya [hendaklah membersihkan hati juga].
# Memahami kedudukan-kedudukan dalam solat.
# Hadirkan hati dan fikiran semasa solat.
# Tenang dan jangan tergopah gapah semasa mengangkat takbir.

Firman ALlah yang bermaksud: “Minta tolonglah kamu [kepada Tuhan] dengan kesabaran dan mengerjakan sembahyang itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang tunduk khusyu’ [kepada ALlah], iaitu orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan mereka akan kembali kepada-Nya”
[al-Baqarah 2:45-46]


Sepuluh Perangkap Syaitan.

Firman ALlah SWT yang bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu adalah neraka jahanan dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya”
[An-Nisa’:120-121]

Syaitan boleh menguasai diri anak Adam dengan memerangkap melalui sepuluh pintu:

• Sifat sombong dan angkuh.
• Sifat bakhil dan kedekut.
• Sifat takbur dan bongkak.
• Sifat khianat.
• Tidak suka menerima ilmu dan nasihat.
• Sifat hasad dengki.
• Suka meremehkan orang lain [ego].
• Sifat ujub atau bangga diri.
• Suka berangan-angan.
• Buruk sangka.


Soal jawab
amirussin@yahoo.com

Soalan : Apakah hukumnya mencabut uban ?

Jawapan : Uban merupakan peringatan ALlah pada hambanya bahawa ia sudah dekat dengan kematian. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Janganlah kamu mencabut uban kerana tidaklah seorang Muslim yang beruban dengan satu uban kerana menegakkan Islam, melainkan akan menjadi cahaya baginya kelak pada hari kiamat”
[Abu Daud,Tarmizi dan al-Nasa’i]

Sepakat para ulama’ mengatakan hukum mencabut uban adalah makruh dan lebih afdhal tidak mencabutnya.


Tarbiyyatul Aulad.
amirussin@yahoo.com

Untuk mendidik anak, pasangan perlulah mempersiapkan diri masing-masing dengan menjaga adab dan akhlaq diri bermula dari memilih pasangan sehinggalah bergelar suami isteri. Persediaan awal adalah seperti berikut:

Persediaan sebelum kelahiran anak.

• Jauhi diri dari sebarang perkara munkar sejak dari remaja.
• Pilihlah pasangan yang beragama [berakhlaq mulia].
• Membaca doa’ semasa ‘bersama’.
• Tinggal di kawasan yang menghayati ajaran Islam, ataupun berdekatan dengan surau atau masjid.
• Semasa isteri hamil, berilah perhatian sepenuh hati.
• Banyakkan ‘amalan sunnat antara ibu dan bapa.

Selepas kelahiran.

• Azan di telinga bayi lelaki dan iqamat di telinga bayi perempuan yang baru lahir.
• Menyusukan bayi dengan susu ibu.
• Tahnik.
• Mengadakan aqiqah.
• Mencukur rambut dan menyedekahkan sebanyak berat rambut.
• Memberi nama yang baik.
• Mendoa’kan untuknya.
• Biasakan diri dengan sifat yang baik dan jauhkan dari sifat yang tidak baik.
• Memberi makanan yang sihat dan halal.
• Menjaga kebersihan diri, rumah dan sekitarnya.
• Banyakkan membaca al-Qur’an dan zikir serta solat.
• Banyakkan bercerita kisah-kisah para Nabi dan para sahabat Nabi SAW.
• Mengajar anak solat setelah mumayyiz.
[Bersambung]


Tip Nabawi.
Oleh:Ust.Qamaruzzaman an-nadwi

Bersihkan gigi dengan miswak [kayu sugi] selepas makan dan kemudian berkumur-kumur kerana kedua-dua amalan ini adalah penjaga gigi.

Gunakan miswak kerana ‘amalan ini datang dari kebersihan dan kebersihan datang dari Iman dan Iman membawa orang itu ke syurga.


Kenapa Wanita Islam Wajib Menutup Aurad ?
tamarmerbok.blogspot.com

Kerana telah termaktub di dalam al-Qur’an. Firman ALlah SWT yang bermaksud: “Hendaklah mereka menghulurkan tudung ke seluruh tubuh mereka, supaya mereka lebih dikenali orang kerana itu mereka tidak diganggu”. [Al-Ahzab:59]

Ciri-ciri pakaian yang dituntut oleh Islam:

• Tudung labuh menutup dada dan tidak jarang [Sebaiknya memakai purdah].
• Lengan panjang sehingga ke pergelangan tangan.
• Baju hendaklah labuh dan longgar dengan warna yang tidak menarik perhatian orang lelaki dan tanpa memakai wangian ketika keluar dari rumah.
• Kain/seluar mestilah longgar dan melepasi buku lali [Seeloknya memakai jubah].
• Memakai sarung kaki [Tapak kaki adalah aurad].
• Memakai kasut yang tidak berbunyi atau yang tidak menarik perhatian orang.

Bahagian manakah yang boleh diperhatikan.

Muka dan tapak tangan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bahawa anak perempuan apabila cukup umurnya, maka mereka tidak boleh dilihat akan dia melainkan mukanya dan dua tapak tangannya hingga pergelangan”. [Riwayat Abu Daud]

Bahagian yang perlu ditutup.

• Leher
• Dada
• Tapak kaki

Dilarang memakai.

• Wangi-wangian [Ketika di luar rumah atau ketika berada bersama orang yang bukan mahram]
• Gelang kaki yang mengeluarkan bunyi [Yang boleh menarik perhatian orang].

Kepada siapa aurad boleh ditunjukkan ?

• Bapa.
• Bapa mertua.
• Anak lelaki.
• Anak lelaki suami [Anak tiri].
• Saudara lelaki.
• Anak saudara perempuan.
• Wanita.
• Hamba sahaya.
• Orang-orang lelaki yang menjadi pengikut mereka [Yang tiada syahwat].
• Perempuan atau kanak-kanak yang belum timbul berahinya.
[Rujuk surah an-Nur:31]


Rahsia Sumber ‘Alam
benhussin.blogspot.com

Khasiat Yogurt.

Yogurt mempunyai khasiat dan kebaikkannya tersendiri. Ia adalah hasil daripada bacteria yang menukar susu dalam bentuk separa pejal dan masam dalam proses penapaian.

Yogurt boleh dihasilkan dengan susu kambing, biri-biri, lembu dan kerbau. Bakteria LLB yang digunakan untuk membuat yogurt, persoalan tentang siapa yang pertama menemui dan siapa yang memperkenalkan kepada siapa semasa pemerintahan Uthmaniyyah terus menjadi topik perbahasan.

Banyak Negara-negara empat musim menjadikan yogurt sebagai makanan atau minuman kesihatan tubuh. Diantara khasiatnya ialah:

• Apabila kultur aktif dalam yogurt memasuki sistem pencernaan maka tubuh akan dilindungi daripada ancaman penyakit.
• Kultur-kultur khas seperti asidofilus dan bifida akan menyinkirkan bakteria merbahaya.
• Yogurt rendah lemak dan bebas lemak memudahkan proses proses pencernaan khususnya bagi mereka yang menghadapi masalah menerima laktosa atau menghadam produk tenusu.
• Membekalkan sumber kalsium, protein, riboflavin [sejenis vitamin B], vitamin B-12 dan vitamin A yang baik.
• Menawarkan mieral penting seperti selenium, potassium dan magnesium.


Kata-kata hikmat [Hiqmat Ki Bati]
Oleh:Syaikh Osama

Rasulullah SAW irshad hei jin se ilm hasil karo un ki sat tawazzu se pesh au .

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya bertawadhuklah kepada guru kamu.


English Section
amirussin@yahoo.com

What is the only religion by God ?

The only religion accepted by God is Islam. Jesus himself in the New Testament told his followers that a prophet would come to tell the whole truth and that this prophet would speak what God would convey to him [John:13-14].

The Old Testament prophesied Muhammad ‘s coming in many texts too, e.g. , [Deut:8-18].

However, if message of Islam does not reach a person, he cannot be held responsible before God, thanks to God’s justice and mercy.

Dear brother, you cannot just close your eyes, ears, mind and heart and simply fool yourself into “ I don’t know ” or “ I don’t care ”.

Now, you know and you have to care, brother. Do something now, not later. Choice, Islam for your way of life.


5 Sifat Terpuji.
benhussin.blogspot.com

Pada suatu hari, Syaidina Ali kwh telah dimaki hamun oleh seseorang. Setelah orang itu selesai memaki hamunnya, Syaidina Ali menghadiahkan sehelai pakaian dan wang sebanyak seribu dirham kepadanya.

Beberapa orang yang mendengar kisah itu membuat rumusan: ‘Telah berkumpul pada beliau lima sifat yang terpuji”.

• Penyantun
• Menghilangkan sakit hati
• Menyelamatkan orang itu dari kemurkaan ALlah
• Menyebabkannya merasa kesal terhadap perlakuannya lalu bertaubat
• Mengubah sikapnya dari suka mencela kepada sikap memuji

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang lambat marahnya dan segera pula reda bila sudah marah. Dan sejahat-jahat manusia ialah yang lekas marahnya dan lambat pula reda marahnya itu”.


Tip Pelajar Cemerlang.
amirussin@yahoo.com

Kepada semua pelajar pengajian akemik, seusai menyambut ‘aid mubarak maka akan menghadapi imtihan [peperiksaan] samaada UPSR, PMR maupun SPM. Pastikan sebelum menghadapi imtihan tersebut anda lakukan beberapa perkara, antaranya ialah:

• Meminta kepada semua guru yang mengajar redhai semua ilmu yang diajar.
• Meminta maaf atas apa sahaja kesalahan yang dilakukan.
• Meminta maaf kepada kedua ibu bapa dan meredhai apa yang diajar dan diberi.
• Meminta ibu bapa mendoa’ kan untuk kejayaan.
• Elakkan dari melukai hati kedua ibu bapa dan guru.
• Elakkan daripada menghadapi tekanan perasaan.
• Elakkan mengambil munuman berkafein dan makanan pedas.
• Buat ulangkaji akhir secara tenang tanpa tekanan.
• Lakukan solat tahajjud dan hajat.
• Lazimkan membaca al-Qur’an.
• Banyakkan berdoa’.

Kita berusaha, ALlah yang akan memberi.


Nazam

Isteriku

Dia
Telah ku letakkan di singahsana
Bersemanyam di atas tahta
Keberi penghormatan dan sanjungan
Jua kepercayaan dan ketaatan
Kerna itulah yang diperintahkan
Kepada seorang yang bernama isteri.

Namun
Dengan bumi yang berputar
Hari yang beredar
Denyut nadi yang bergetar
Dek bencana di sekitar.

Akhirnya
Rebah jua menyembah bumi
Bersama tersungkurnya aku
Setelah tiada lagi aku berdaya
Pabila datangya perintah
Untukku meninggalkan dia
Demi menggapai redha Tuhan.

Lalu
Dengan kakiku yang tiada bermaya
Ku atur langkah ini
Jauh darinya
Biarpun dengan banjir di pipi
Tsunami di hati.

Oh Tuhan
Kau beriku hamba Mu
Untuk ku letak di singgahsana
Telah ku patuhi perintah Mu
Dan bila Kau mahukan aku
Meninggalkannya demi untuk Mu
Jua ku patuhi perintah Mu

Namun aku insan yang tiada berdaya
Walau dia tiada di sisi
Inilah dosa ku inilah khilaf ku
Wahai Tuhan ampunilah aku
Kan ku cuba melupakannya
InsyaALlah.
Nukilan: Ahmad Muhammad
Kulim, Kedah.

Untuk langganan albayan hubungi Ust.Qamaruzzaman: 013 4849471. 1 Tahun RM
25.00 . 6 Bulan RM 12.50 [Harga termasuk bayaran pos]. Untuk mendapatkan barangan kesihatan sila lawati www.tamarmerbok.blogspot.com.

No comments: